Khamis, 28 Jun 2012

DR MOHAMAD KHIR TOYO CONTOH PEMIMPIN SAYANGKAN PARTI, DI JERANTUT MACAM MANA?



Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo hari ini mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.
Dr Mohamad Khir, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang sejak 1999, memberitahu Bernama: “Saya mahu menumpukan kepada keluarga saya dan berehat. Tidak ada alasan lain."
Doktor gigi itu juga berkata, beliau tidak lagi mahu dicalonkan kerana kes mahkamahnya berhubung pembelian sebuah rumah di Seksyen 7, Shah Alam bernilai RM3.5 juta.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember tahun lepas telah menjatuhi hukuman penjara setahun ke atas beliau yang didapati bersalah, dan kes itu kini di peringkat rayuan.
Dr Mohamad Khir menjawat jawatan sebagai Menteri Besar apabila kerajaan negeri Barisan Nasional negeri itu tewas kepada gabungan parti PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU 2008.
Beliau berkata soal calon DUN Sungai Panjang akan diserahkannya kepada Umno Bahagian Sungai Besar.
Ditanya sama ada keputusannya untuk mengundur diri dari bertanding itu direstui oleh anggota bahagian dan juga masyarakat di kawasan yang diwakilinya, beliau berkata perkara itu boleh diselesaikan.
“Kita boleh pujuk mereka untuk menyokong calon baharu, itu tidak jadi masalah," kata Dr Mohamad Khir, yang merupakan Menteri Besar Selangor yang termuda iaitu berusia 35 tahun pada masa dilantik memimpin negeri itu pada 18 Ogos 2000.



Tengku Lan Berundur ?

Umno Jerantut menyerahkan kepada Badan Perhubungan Umno Pahang berhubung hasrat Ahli Parlimen Jerantut Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar yang mahu berundur pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Timbalan Ketua Umno Jerantut Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak juga meminta semua pihak terutamanya di bahagian berkenaan, agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung hasrat Tengku Azlan itu.

"Selama tiga penggal sebagai Ketua Umno Bahagian Jerantut, Tengku Azlan merupakan pemimpin yang cukup berjasa terhadap Umno di Jerantut.

"Umno di sini menganggap beliau sebagai tokoh perpaduan setelah mengambil ahli tugas sebagai Ketua Umno di sini yang berupaya menjernihkan kembali hubungan di kalangan ahli Umno yang pernah berpecah dan berpuak-puak sebelum ini," katanya kepada pemberita, dekat Jerantut.

Tengku Azlan merupakan Anggota Parlimen Jerantut sejak tiga penggal lepas dan dalam pilihan raya umum 2008 beliau berjaya mengekalkan kerusi itu selepas menewaskan calon PAS Dr Hamzah Jaaffar dengan majoriti 1,946 undi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan