Jumaat, 29 Julai 2011

MB PAHANG AKAN CAKAP SERBA BIKIN ATAU ADA MB LAIN LEPAS INI?

Kerajaan Negeri memandang serius setiap aduan rakyat dan akan mengambil langkah penyelesaian dalam usaha menjaga kebajikan mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob berkata, setiap aduan akan diteliti dengan sewajarnya demi kepentingan semua pihak.

Menurutnya, sejak mengadakan lawatan ke beberapa daerah di negeri ini, masalah yang sama diadukan rakyat iaitu berkaitan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air, memohon hak milik tanah serta kebajikan lain.

“Pertemuan dan sesi dialog bersama penduduk yang turut disertai wakil rakyat, pegawai daerah dan Setiausaha Kerajaan Negeri membolehkan masalah yang diadukan ditangani mengikut saluran yang ada.

“Dengan turun mendekati rakyat begini juga membolehkan Kerajaan Negeri mengetahui permasalahan rakyat secara terus, seterusnya mengambil tindakan dengan kerjasama wakil rakyat dan agensi kerajaan yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perjumpaan dengan ketua kampung, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komponen parti Barisan Nasional di Dewan Majlis Daerah, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Muhammad Safian Ismail; Pegawai Daerah Jerantut, Datuk Mohamad Roslan Harun; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee dan ADUN PulauTawar, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail.

Sementara itu, Adnan berkata, ketua jabatan peringkat negeri dan daerah tetap berusaha sebaik mungkin untuk menyiapkan segera sesuatu projek mengikut jadual walaupun berhadapan sedikit kelewatan peruntukan.

“Jika berlaku sedikit kelewatan bukan bermakna Kerajaan Negeri ‘terlepas pandang’ terhadap kebajikan penduduk, tetapi pelaksanaan sesebuah projek mengikut keutamaan di sesebuah tempat termasuk kajian peruntukan.

“Sebagai contoh, pertemuan dengan penduduk kali ini turut menyelesaikan masalah jalan Jerantut ke Benta yang sering diadukan penduduk selama ini. Walaupun berlaku kelewatan sebelum ini, namun Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sudah memaklumkan akan mengeluarkan tender untuk menyiapkan projek berkenaan tidak lama lagi,’” katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang menangguk di air keruh dengan menggunakan pelbagai isu bagi meraih perhatian.

“Pembangkang memainkan pelbagai isu untuk memancing undi bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang. Justeru, rakyat tidak perlu mudah percaya dengan dakyah mereka yang memanipulasi pelbagai perkara untuk kepentingan sendiri,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan