‘BIAR putih tulang, jangan putih mata’. Itu harapan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kepada 436 atlet Sukan Malaysia (Sukma) Pahang yang akan beraksi pada temasya sukan terbesar negara dari 7 hingga 16 Julai ini.
Tengku Abdullah berkata, prestasi mantap, disiplin dan komitmen tinggi ditagih dalam usaha mencipta kejayaan membanggakan terutama kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
Menurutnya, jika pada Sukma 1996, Pahang berjaya menduduki kedudukan ketiga terbaik keseluruhan, pencapaian lebih baik mampu dipersembahkan atlet selepas menjalani latihan intensif sejak dua tahun lalu.
“Saya yakin semua atlet mampu melakukannya jika semangat melawan dan tidak mudah putus asa dipamer bersandarkan kepada kemampuan dan prestasi semasa.
“Selain itu, insentif yang diberi termasuk kebajikan daripada Kerajaan Pahang harus dibuktikan atlet untuk meraih 32 pingat emas seperti disasar Pahang pada kejohanan kali ini,” katanya pada majlis penyerahan bendera kontinjen Sukma Pahang di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, Kuantan semalam.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, Pengarah Majlis Sukan Pahang, Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi dan Ketua kontinjen Sukma Pahang, Datuk Zulkifli Yaacob.
Pada temasya kali ini, selain sasaran 32 pingat emas, Pahang turut mengidam menduduki lima kedudukan terbaik keseluruhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan