Selasa, 2 Ogos 2011

PENDUDUK JERANTUT PENGOTOR, ALAM FLORA MACAM MANA?

Majlis Daerah Jerantut (MDJ) kesal dengan sikap penduduk di beberapa kawasan perumahan di daerah ini yang mengabaikan kebersihan di kawasan persekitaran rumah masing-masing. Setiausaha MDJ, Wan Norizan Wan Badaruzzaman menegaskan, kebanyakan penduduk membiarkan persekitaran rumah dipenuhi sampah dan semak-samun sehingga menjadi punca pembiakan nyamuk aedes.
"Ini dapat dilihat setiap kali kami mengadakan gotong-royong bersama penduduk di beberapa kawasan perumahan yang telah dipilih oleh MDJ," katanya kepada Utusan Malaysia ketika mengadakan gotong -royong di Kampung Mat Kilau di sini semalam.
Gotong-royong tersebut turut melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Jerantut, Jabatan Kesihatan dan Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora).
Wan Norizan berkata, penduduk masih memandang ringan mengenai tanggungjawab mereka untuk menjaga kebersihan persekitaran rumah masing-masing.
"Saya terkejut melihat banyak sampah di keliling rumah dan di dalam longkang selain semak-samun seolah-oleh kawasan tersebut tidak berpenghuni," ujarnya.
Berikutan itu, kata beliau, pihaknya terpaksa mengadakan gotong-royong bersama penduduk di kawasan perumahan di daerah ini sebanyak dua kali sebulan.
"Terdapat 63 jawatankuasa perwakilan penduduk di sini dan kita akan pilih dua kawasan perumahan untuk dibersihkan supaya kelihatan ceria dan bebas daripada wabak penyakit terutama denggi," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru penduduk menjadikan amalan kebersihan di dalam dan luar rumah sebagai tanggungjawab bersama.
Sementara itu, Pengerusi Rukun Tetangga Kampung Mat Kilau, Abdul Satar Jalil, 37, turut kecewa dengan sikap penduduk di kawasan berkenaan kerana mereka tidak menjaga kebersihan dengan baik.
"Sejak dua tahun lalu, beberapa penduduk di sini disahkan menghidap denggi termasuk denggi berdarah namun, masyarakat masih lagi memandang remeh perkara ini.
"Saya hairan kenapa mereka sanggup membiarkan kawasan rumah dipenuhi sampah dan semak sedangkan di situlah tempat mereka berteduh," kata beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan