Jumaat, 12 Ogos 2011

SUARA RAKYAT DIDENGAR WALAUPUN 35 TAHUN BERSUARA

Terima kasih kerajaan Pahang (UTUSAN MALAYSIA)


LAMPU jalan yang dipasang sejak dua minggu lepas menambahkan keceriaan waktu malam di Jambatan Sungai Pahang berdekatan Kampung Jerantut Feri, Jerantut.


Saudara pengarang,
SAYA antara kalangan penduduk Kampung Jerantut Feri merakamkan terima kasih atas usaha Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang begitu prihatin dan peka dengan masalah dan aduan dikemukakan oleh rakyat luar bandar.
Menerusi ruangan Rakan Pahang, saya ingin menyampaikan penghargaan kepada pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) negeri ini kerana semasa lawatan kerja beliau ke Jerantut akhir bulan lalu bertemu dengan penduduk telah membuahkan hasil.
Buktinya, aduan mengenai ketiadaan lampu di Jambatan Sungai Pahang berdekatan Kampung Jerantut Feri yang bergelap sejak dibina 35 tahun lalu kini bertukar menjadi ceria pada waktu malam setelah pemasangan lampu berkenaan baru-baru ini.
Saya menjangkakan aduan penduduk di sini menerusi surat rasmi dan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Menteri Besar menyebabkan beliau begitu prihatin dan tindakan pantas telah dilaksanakan kemudiannya.
Tiga hari selepas lawatan itu, kami dapati lampu berkenaan mula dipasang di jambatan itu sekali gus melegakan penduduk di sini.
Saya difahamkan permohonan projek pemasangan lampu Jambatan Sungai Pahang itu kerap diajukan oleh Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) kepada kerajaan negeri menerusi pentadbiran daerah sebelum ini tetapi tidak mendapat jawapan.
Hal ini menimbulkan pertanyaan dalam kalangan penduduk dan pelancong ke Taman Negara kenapa jambatan itu tanpa lampu sedangkan ia menjadi laluan alternatif untuk kenderaan berulang alik melalui jalan persekutuan antara bandar Jerantut ke Maran.
Terima kasih kerajaan negeri khususnya Menteri Besar kerana memandang serius kemudahan asas untuk keselesaan penduduk luar bandar dan pedalaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan